Pindah Rumah

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Aku sudah pun berpindah rumah ke Apabila Hidup Semakin Bermakna.

Blog ini aku tetap akan abadikan sebagai kenangan yang hebat dalam hidupku sehingga ke akhir hayat. Selamat tinggal A Moment With Nas...

Jom ramai-ramai datang bertandang ke rumah aku..!

Ini merupakan entri terakhir aku di sini. Sehingga berjumpa lagi di rumah baru aku!

»aPa LaGi eK...«

Agak Sibuk!

Assalamu'alaikum Pembuka Bicara!

Saya memohon kemaafan kepada rakan-rakan bloggers mahupun pembaca-pembaca sekalian kerana sudah agak lama rasanya saya tidak mengemaskini A Moment With Nas ini..

Ini kerana saya agak sibuk dengan komitmen sebagai seorang pelajar dan bakal guru di sini! InsyaALLAH blog ini akan kembali ceria dengan informasi yang boleh dikongsi bersama dan akan mengunjungi blog-blog rakan-rakan bloggers dalam masa beberapa bulan lagi..

Minta maaf di atas segala kesulitan dan kerisauan... hehe...

P/S : Tidak sabar rasanya hendak kembali ke kampung halaman 24 Oktober ini, bertemu keluarga tercinta!

»aPa LaGi eK...«

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!


ASSALAMU'ALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA!

DI SINI NASS DAN KELUARGA INGIN MENGUCAPKAN..

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

MAAF ZAHIR DAN BATIN!


HATI-HATI BALIK KAMPUNG!

KAD DARIPADA UNCLE DOT : SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!

KAD RAYA DARIPADA DAQ NAKAL PERAK : SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI ANEP!

»aPa LaGi eK...«

BERTUNANG!

SELAMAT BERTUNANG!!!

Assalamu'alaikum Pembuka Bicara...

Pada hari ini, aku ingin berkongsi dengan korang semua tentang satu tajuk yang mungkin menjadi topik kegemaran semua...atau sesetengahnya agak kecewa bila aku mengeluarkan statement ini...

"AKU DAH BERTUNANG!"

dun worry...i am yet single but not available, ok?

Apakah itu BERTUNANG? Apakah hikmahnya? Apakah hukumnya? Apakah keperluannya? Sama-samalah kita ikuti...dan hayati maklumat-maklumat yang aku telah kumpul melalui internet, cerita orang tua-tua, dan pendapat TUNANG sendiri..

HANTARAN PERTUNANGAN


ADAT MEMINANG DAN BERTUNANG MENGIKUT ADAT RESAM MELAYU

Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.

Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.

Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap”. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.

Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.

Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :

• Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.

• Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.


PERTUNANGAN MENGIKUT SYARIAT ISLAM

(Source: www.yadim.com.my)

Sebelum seseorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama.

Pertama; adakah fardu ain si lelaki ´benar-benar beres´ kerana suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri apabila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan pelaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan secara berjemaah, juga mengenal pasti pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya sesebuah rumah tangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik, perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja sebagai syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumah tangga.

Tidak hairanlah apabila selepas berkahwin, kehidupan anak-anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya, anak-anak tidak taat kepada ibu bapa dan isteri menjadi ´Queen Control´ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir rumah tangga menurut hukum Islam.

Ibu bapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu reda terhadapnya, agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”

Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan sama ada mahu menerimanya ataupun tidak, cuma secara beradabnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.

Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan berakhlak mulia.

Bagaimanapun, jika si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya daripada pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti menjaga adab. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan kerana hatilah yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua, namun sampai ke hari tua.

Contohnya, orang pada zaman ´salafusaleh´, rumah tangga mereka berkat kerana dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.

Namun, kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan adab menurut Islam, sampai akhir hayat pun mungkin rumah tangga itu nampak ´tidak cantik´, tidak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku pada hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya, pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dengan sebentuk cincin saja.

Malah Islam tidak pernah menyusahkan penganutnya dengan cara demikian. Apabila hantaran terlalu tinggi, hilang keberkatan rumah tangga.

Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin, juga wang hantaran ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun, sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut apabila berkahwin, boleh kita terima, tetapi sekiranya wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.

Begitulah kehendak syariat. Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah s.a.w memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik ialah yang terendah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.”

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:

“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sedikit mas kahwinnya.”

Bersabda baginda lagi yang bermaksud:

“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah s.a.w itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumah baginda.

Sesetengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham).

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Saidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya, ayat dalam surah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki.

Bagaimanapun, apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan.

Jika begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.

Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperkuatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang telah ada tanpa rasa tamak.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang diikat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.

Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang ´aman´ daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang.

Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat.
Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.

Pergaulan yang melibatkan tunang sama ada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Dilarang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah s.a.w telah mengingatkan kita menerusi sabda baginda yang bermaksud:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka jangnlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud:

“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya.

***************************
Diharap info-info di atas dapat membantu insan-insan yang kurang ilmu, dan mungkin memperjelaskan lagi persoalan yang bermain di minda...

Bagi yang sudah bertunang, jaga lah hubungan itu sebaik mungkin atas dasar kerana ALLAH. Dan bagi yang bakal bertunang, berpada-pada lah dan jangan terlalu membazir...kerana yang lebih penting adalah masjid yang bakal dibina atas jaminan tunang itu tadi..wallahualam!

p/s : SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI! MAAF ZAHIR DAN BATIN!

»aPa LaGi eK...«

4 Jenis Manusia Di Dunia! Anda jenis yang mana?

Menuju ke Destinasi


1. Mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati.

Mereka ini ialah orang-orang yang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang Allah dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan angota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah.

Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah dari pengaruh mereka. Sebaliknya kamu hendaklah cuba menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan Ilmu Ketuhanan, Guru kepada yang baik,Pembimbing kepada agama Allah,Penyampai dan pengajak kepada manusia kepada jalan Allah.Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada Nabi-nabi dan Rasul.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada Sayyidina Ali; "Jika Allah membimbing seseorang melalui bimbingan kamu kepadaNya, maka itu terlebih baik kepada kamu dari apa-apa sahaja di mana matahari terbit".


2. Mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati.

Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju Allah tetepi mereka sendiri lari dari Allah.Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumbang dalam maksiat itu.Mereka menunjuk kepada orang lain yang mereka itu Soleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa yang besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian. Inilah orang yang dikatakan kepada Nabi SAW. dengan sabda;

"Yang paling aku takuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat".

Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim seperti itu. Oleh itu,larilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti itu. Jika tidak,kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manis yang bijak berbicara itu dan api dosanya itu akan membakari kamu dan kekotoran hatinya akan membunuh kamu.


3. Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah.

Dia adalah seorang yang beriman.Allah telah mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka dengan tabirNya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri urusan orang ramai dan kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak.

Mereka ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "DIAM" dan bekhalwat. Nabi SAW. pernah bersabda;

"Barangsiapa yang diam akan mencapai keselamatan".

Sabda baginda lagi;

"Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam diam".

Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan Allah dan diberkati dengan keredhoan dan segala yang baik akan diberikan kepada mereka.

Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang Soleh.


4.Mereka yang diajak ke dunia tidak nampak(Alam Ghaib), diberi pakaian kemuliaan seperti dalam sabda Nabi SAW;

'Barangsiapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang yang lain, maka akan diajak ke dunia ghaib dan permuliakan".

Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir hampir kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu "Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang mengesahkan kebenaran orang lain.

Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah. Mereka sentoasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusian dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian.

Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka. Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunanNya.

Sheikh Abdul Qadir Al-Jailan telah bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada diri kita untuk memeriksa diri sendiri jika kita mempunyai fikiran. Dan selamatkanlah diri kita jika ingin keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju kepada apa yang dikasihiNya dan diredhaiNya, dalam dunia ini dan di akhirat kelak.

SUMBER: Kitab Futuuhul Ghaib oleh Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani

»aPa LaGi eK...«

Batal puasa ke..kalau korek hidung?

Comelnye depa neh!! Jangan korek hidung dik oit!

Salam semua..

Kalau kita korek hidung, batal puasa ke tak ek?

Bagi orang yang jahil tapi berlagak pandai, dia akan kata "BATAL PUASA KO!"

Tapi bagi yang berilmu, first of all, dia akan cari dulu information di Google mahupun di dalam as-Sunnah ataupun merujuk secara direct ke al-Quran, sebelum memberi jawapan yang tepat!

Kirenya..aku lah antara yang pernah jadi si jahil di atas..ekekek! Bila adik aku tanya, aku dengan kompiden menjawab "LA..BATAL LAH PUASA KO..GI LAH BUKE..SIA-SIA AJE KO PUASA ARINI..HAHAHAHA!" memang ciri-ciri kak long yang sambrono hantam aje.. kahkahkah! Tapi itu masa aku berumur 12 tahun, jangan terrrrrsilap fahaman ok?

SO..point aku pada Ramadhan ke-6 hari ini adalah untuk berkongsi dengan korang, apakah aktiviti yang SEBENAR-BENARNYA yang boleh membatalkan puasa..dan seterusnya menjadikan puasa korang pada hari berkenaan SIA-SIA dan WAJIB DIGANTI!

Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:
Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan
sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan.

Muntah dengan sengaja
(contoh : korek anak tekak atau sengaja pergi ke tapak pelupusan sampah untuk menghirup udara segar!)

Mengeluarkan air mani
(contoh : melakukan, melihat atau memegang sesuatu yang mendatangkan perasaan ghairah dengan sengaja atau buat-buat tak sengaja! Tak faham? Faham-faham sendiri aje laa..)

Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari
(contoh : tak perlu disediakan!)

Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita
(tapi ALLAH memberi kelonggaran kepada wanita untuk mengganti a.k.a mengqada' puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadhan sebab datang haid!)

Menjadi gila

(contoh : jadi gila lah! sewel... Nasihat aku, masalah jangan pk sangat, dan jangan kuat sangat termenung...memang risiko untuk menjadi gila dan sewel itu sangatlah tinggi!)

Pitam sepanjang hari
(contoh : selepas sahur, tetibe dia pitam sepanjang hari sebab kepala terhantuk dengan tong gas, dah nak maghrib (tau2 aje nak berbuka), dia pon sedar dari pitam, maka sahih, batallah puasa hang!)

Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
(Contoh : minum arak...kalau dia bersahur dengan minum arak sampai mabuk, kompom puasanya tak diterima! erk..kalau minum sikit aje? pk logik lah...adake niat menghalalkan cara?? lu pk lah sendiri!!)

Murtad, iaitu keluar dari agama Islam
(dah sah-sah lah orang bukan Islam berpuasa ALLAH memang tak terima...)

Puas hati tak dengan kenyataan di atas??? Itulah semua perkara-perkara yang membatalkan puasa yer adik-adik dan kakak-kakak...
Ada tak sebut pasal...korek hidung?? Takde lagi eh?
Ok..ok..jom ikuti perbincangan sesi soal jawab di bawah!
Don't worry! Aku dapatkan semua ni dari source yang sahih. Nanti aku bagi kredit kat source supplier..huhu!

Adakah mimpi sehingga keluar air mani membatalkan puasa?
Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh meneruskan puasanya. Yang perlu hanyalah mandi junub.

Saya telah bermimpi sehingga mengeluarkan mani pada siang hari bulan Ramadan, kemudian saya mandi junub. Adakah mandi junub tersebut membatalkan puasa saya?
Bermimpi sehingga mengeluarkan mani dan mandi junub tidak membatalkan puasa. Malahan, sekiranya termasuk air ke dalam telinga atau tertelan air ketika berkumur-kumur (sewaktu mengambil wuduk atau mandi) puasa tidak terbatal kerana ia dikira tidak sengaja.

Sabda Rasulullah S.A.W yang

bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampuni umatku yang tersilap, terlupa
atau dipaksa melakukan sesuatu.” (Riwayat At-Tabarani)

Ada yang mengatakan berkumur-kumur dan memasukkan air
ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang. Sejauh manakah kebenaran pendapat ini?
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang berwuduk dengan tidak kelebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong, maka puasanya tetap sah. (Sila rujuk soalan 19). Samalah keadaannya jika dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.

Adakah seseorang yang sedang berpuasa itu boleh melakukan sukan renang?
Berenang boleh menyebabkan masuknya air ke dalam hidung dan/atau telinga perenang. Jika air memasuki badan cara sedemikian, adalah batal puasa seseorang. Dengan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berpuasa dinasihatkan agar tidak berenang di siang hari Ramadan untuk mengelakkan dari terbatalnya puasa. (Sila rujuk soalan 20)

Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi pesakit semput)
ketika berpuasa?
Antara perkara yang membatalkan puasa ialah kemasukan sesuatu ke dalam badan melalui rongga yang terbuka. Namun, kemasukan sesuatu bahan seperti ubat inhaler di atas dasar darurat, yang berkaitan dengan kesukaran bernafas, dibolehkan syara’. Oleh yang demikian, penggunaan inhaler yang berpatutan tidak membatalkan puasa.

Adakah suntikan “insulin” membatalkan puasa?
Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.

Saya pernah terdengar bahawa jikalau seseorang itu berpuasa, dia dilarang ‘membersihkan’ telinga atau hidungnya. Samada menggunakan cotton bud ataupun jari. Kerana perbuatan itu akan membatalkan puasanya. Adakah benar?
Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana dan berhati-hati. Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan dan bersihkanlah telinga dan hidung di waktu malam.

Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?
Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.

Harap korang dah clear ek? Dan alhamdulillah aku pon dah agak CLEAR hari ini.. :)
Wallahu alam!

******************************
MADAH INDAH HARI INI
"Kadang-kadang ALLAH sembunyikan matahari dan menurunkan hujan, kita merasa sangat susah dan terbeban...tidak tertanggung rasa..lagi-lagi yang tak bawak payung macam aku.. Tapi aku tak tahu, rupa-rupanya ALLAH ingin menghadiahkan aku sebuah pelangi yang sangat indah! Di mana ianya hanya berlaku apabila terdapatnya cahaya matahari dan elemen hujan...
Syukur ya ALLAH! Terima kasih kepada mak dan ayah kerana melahirkan aku ke dunia fana yang indah ini..dan penuh hikmah!"

******************************
Credit to : Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4 & 5..ekekeke!

»aPa LaGi eK...«

Kelebihan Setiap Hari di Bulan Ramadhan...

Berbahagialah orang yang berpuasa di siang hari dalam bulan Ramadhan kemudian bersembahyang tarawih di malam harinya...

Assalamu'alaikum pembuka bicara...

Pada hari ini..yakni hari ke-2 Ramadhan al-Mubarak, baru internet di bilik aku ini ok sedikit berbanding hari-hari sebelumnya..

Dengan kesempatan yang ALLAH beri kepadaku kali ini, ingin sekali aku berkongsi dengan rakan-rakan semua, apakah kelebihan setiap hari di dalam bulan Ramadhan...

++++++++++++++++++++++++++++++

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."

Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan seribu rahmat oleh Allah S.W.T. kepada manusia untuk memperbanyakkan amal soleh. Selain dari kewajipan berpuasa di siang hari , Rasulullah S.A.W. juga menganjurkan supaya kita dapat mengerjakan solat tarawih sepanjang malam bulan Ramadan. Tarawih juga membawa maksud ' bersenang-senang atau duduk istirehat '. Jadi solat tarawih itu dilakukan secara bersenang-senang di setiap malam bulan Ramadan.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. di dalam sabdanya yang

bermaksud:
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : ' Barangsiapa
yang mengerjakan ibadat dan beriman dan perhitungan di bulan Ramadan
diampuni Allah dosanya yang telah lalu '.

Riwayat Bukhari dan Muslim. Di dalam sabdanya yang lain maksudnya:
'Bahawasanya Allah telah mewajibkan puasa Ramadan, dan aku telah mensunahkan berdiri pada malamnya (solat tarawih), kerana mengharapkan akan Allah oleh seseorang iaitu dengan berpuasa pada siang hari dan solat (solat tarawih) pada malamnya, nescaya keluarlah (selamatlah) dia dari dosa seperti dia dilahirkan oleh ibunya' .

Bagi sesiapa yang mengerjakan solat tarawih di sepanjang malam bulan Ramadan akan dijanjikan pahala yang amat besar oleh Allah. Saidina Ali bin Abi Talib Radiallah Anhu pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W., kemudian baginda menjawab 'orang-orang mukmin yang melakukan solat tarawih pada bulan Ramadan akan mendapat kelebihan seperti berikut:

Malam pertama
Dosanya keluar seperti ia baru dilahirkan oleh ibu.

Malam kedua
Dosanya diampuni, begitu juga dosa kedua ibu bapanya jika keduanya itu orang mukmin.

Malam ketiga

Dipanggil oleh malaikat dari bawah Arasy dengan seruan 'mulailah kamu beramal sebab Allah telah mengampuni dosamu yang telah lalu '.

Malam keempat

Pahalanya sama seperti orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

Malam kelima

Pahala seperti orang yang solat di Masjid al Haram di Mekah, Masjid an Nabawi di Madinah dan Masjid al Aqsa di Palestin.

Malam keenam

Seperti pahala orang yang tawaf di Baitullah, batu-batu serta pasir turut sama memohonkan ampun baginya.

Malam ketujuh
Seperti orang yang hidup pada zaman Nabi Musa dan membantunya hingga dapat mengalahkan Fir'aun dan Haman.

Malam kelapan

Diberi oleh Allah segala apa yang pernah diberikan kepada Nabi Ibrahim.

Malam kesembilan

Seperti pahala beribadat kepada Allah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W

Malam kesepuluh
Dikurniakan oleh Allah kebaikan di dunia dan akhirat.

Malam kesebelas

Bersih dari segala dosa seperti baru dilahirkan dari kandungan ibu.

Malam kedua belas

Muka bercahaya di hari Kiamat.

Malam ketiga belas

Datang di hari Kiamat dengan keadaan aman dari segi kejahatan.

Malam keempat belas

Disaksikan oleh malaikat jika telah melaksanakan solat tarawih maka pada hari kiamat ia akan dibebaskan oleh Allah dari segala mudarat.

Malam kelima belas
Diminta ampun oleh para malaikat yang memikul Arasy dan kerusi.

Malam keenam belas

Dibebaskan dari api neraka dan dapat masuk syurga.

Malam ketujuh belas

Diberi pahala seperti pahala para nabi.

Malam kelapan belas

Diseru oleh para malaikat bahawa Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tuamu.

Malam kesembilan belas

Diangkat darjatnya ke dalam syurga firdaus.

Malam kedua puluh

Diberi pahala para syuhada dan solihin.

Malam dua puluh satu

Dibina rumahnya dari nur di dalam syurga.

Malam ke dua puluh dua

Di hari Kiamat ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan.

Malam kedua puluh tiga

Dibangunkan sebuah kota untuknya di syurga.

Malam kedua puluh empat

Pahala seperti dua puluh empat permohonan dikabulkan.

Malam kedua puluh lima

Dihapuskan dari seksa kubur.

Malam kedua puluh enam

Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun.

Malam kedua puluh tujuh

Dapat melintasi sirat dengan laju bagaikan kilat menyambar.

Malam kedua puluh lapan

Allah mengangkat dengan seribu darjat.

Malam kedua puluh sembilan
Seperti pahala seribu haji yang mabrur.

Malam ketiga puluh

Dipersilakan oleh Allah makan buah-buahan syurga dan mandi dengan air salsabil serta minum dari telaga Kausar.

Hebatnya ganjaran yang ALLAH bagi kepada kita andainya puasa kita setiap hari di bulan RAMADHAN, DITERIMA oleh ALLAH SWT.

Sesungguhnya kita berpuasa dengan penuh ketakwaan (yakni ketakutan) kepada ALLAH akan mendapat ganjaran yang tidak ternilai...insyaALLAH!

Tapi jika kita berpuasa tanpa takwa kepada ALLAH, dikhuatiri puasa kita itu akan menjadi SIA-SIA sahaja...

Wallahu alam!

»aPa LaGi eK...«